Days of Remembrance

Malay · Bahá'u'lláh

LOH RIḌVÁN BH00821

Add range:

LOH RIḌVÁN

(Yang berikut adalah himpunan beberapa perenggan terpilih)

Musim semi Ilahi telah datang, Ya Pena Yang Maha Luhur, kerana Perayaan Yang Maha Pengasih sedang mendekati dengan segera. Gerakkanlah dirimu, dan muliakanlah di hadapan seluruh ciptaan, nama Tuhan, dan rayakanlah pujian-Nya, sedemikian rupa sehingga segala sesuatu yang diciptakan dapat dihidupkan kembali dan diperbaharui. Berbicaralah, dan janganlah berdiam sahaja. Suria kebahagiaan bersinar di atas ufuk nama Kami, Sang Bahagia, kerana kerajaan nama Tuhan telah dihiasi dengan perhiasan nama Tuhanmu, Pencipta semua langit. Bangkitlah di hadapan bangsa-bangsa dunia ini dan lengkapkanlah dirimu dengan kekuasaan Nama Yang Terbesar ini, dan janganlah termasuk dalam kalangan mereka yang ragu-ragu.

Inilah Hari di mana dunia ghaib berteriak: “Besarlah rahmat-Mu, wahai bumi kerana engkau telah dijadikan tempat berpijak Tuhanmu, dan telah dipilih sebagai singgahsana-Nya yang maha besar”. Alam kemuliaan menyatakan: “Semoga hidupku dapat dikorbankan bagimu, kerana Dia, Kekasih Yang Maha Pengasih telah mendirikan kedaulatan-Nya di atasmu, melalui kekuasaan Nama-Nya yang telah dijanjikan kepada segala sesuatu, baik pada masa lampau mahupun yang akan datang”…

Bangkitlah dan umumkanlah kepada seluruh ciptaan khabar gembira bahawa Dia Yang Maha Pengasih telah mengarahkan langkah-langkah-Nya menuju ke Riḍván dan memasukinya. Maka bimbinglah orang-orang ke taman kenikmatan yang telah Tuhan jadikan takhta Firdaus-Nya. Kami telah memilih engkau menjadi Trompet yang maha kuasa yang tiupannya akan menandakan kebangkitan seluruh umat manusia.

Tariklah kalbu-kalbu manusia, melalui panggilan Dia, Kekasih yang tunggal. Katakanlah: Inilah Suara Tuhan, jika engkau ingin mendengarkan. Inilah Fajar Wahyu Tuhan, jika engkau mengetahuinya. Inilah Tempat Terbit Firman Tuhan, jika engkau mengenalnya. Inilah Sumber perintah Tuhan, jika engkau menimbangnya dengan adil. Inilah Rahsia yang nyata dan tersembunyi; jika engkau melihatnya. Wahai orang-orang di dunia! Singkirkanlah atas nama-Ku yang melebihi semua nama-nama, segala sesuatu yang engkau miliki dan selamkanlah dirimu dalam Samudera ini yang dalamnya tersembunyi mutiara-mutiara ilmu dan ucapan, suatu samudera yang bergelombang atas nama-Ku, Yang Maha Pengasih. Demikianlah Perintah Dia Yang Memiliki Ibu Kitab.

Sang Kekasih telah datang. Pada tangan kanan-Nya terletak Wain nama-Nya yang tertutup rapat. Gembiralah orang yang menghadap kepada-Nya dan meminum sepuas-puasnya dan berseru: “Pujian bagi-Mu, Ya Pewahyu tanda-tanda Tuhan!” Demi keadilan Yang Maha Kuasa! Setiap sesuatu yang tersembunyi telah dinyatakan melalui kuasa kebenaran. Semua anugerah Tuhan telah diturunkan sebagai tanda rahmat-Nya. Air kehidupan yang kekal telah dipersembahkan sepenuhnya kepada manusia. Setiap cawan telah ditawarkan oleh Tangan Sang Kekasih. Dekatilahnya dan janganlah teragak-agak, meskipun untuk sesaat.

Bergembiralah dengan kebahagiaan yang amat, wahai umat Bahá, apabila engkau mengingati Hari Kegembiraan yang tertinggi, pada Hari Lidah Zaman Purba telah berbicara, ketika Dia keluar dari Rumah-Nya, menuju ke Tempat dari mana Dia mencurahkan kegemilangan nama-Nya, Yang Maha Pengasih pada seluruh ciptaan. Tuhan adalah saksi Kami.

NAW-RÚZ BH02896

Add range:

Pujian bagi-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah menetapkan Naw-Rúz sebagai satu hari raya bagi mereka yang telah berpuasa kerana cinta kepada-Mu dan telah menjauhkan diri daripada segala sesuatu yang tak Engkau sukai. Izinkanlah, Ya Tuhanku, api cinta-Mu dan haba yang dihasilkan kerana puasa yang telah Engkau tetapkan agar menyalakan semangat mereka dalam Akidah-Mu, dan membuat mereka asyik dengan pujian dan pengingatan kepada-Mu.

Kerana Engkau telah menghiasi mereka, Ya Tuhanku, dengan perhiasan puasa yang ditetapkan oleh-Mu, maka hiasilah mereka dengan perhiasan penerimaan-Mu melalui kurnia dan rahmat-Mu. Kerana perbuatan manusia semuanya bergantung kepada keredaan-Mu, dan ditentukan oleh perintah-Mu. Seandainya Engkau menganggap dia yang telah melanggar kewajipan berpuasa sebagai seorang yang telah menunaikan ibadah puasa, orang itu akan termasuk dalam bilangan mereka yang selama-lamanya telah berpuasa. Dan seandainya Engkau menetapkan bahawa dia yang telah menunaikan ibadah puasa, telah melanggar kewajipan berpuasa, maka orang itu akan termasuk bilangan mereka yang telah mengotori Jubah Wahyu-Mu dengan debu, dan telah menjauhkan diri daripada air jernih yang berasal daripada Mata Air hidup ini.

Engkaulah Dia yang melalui-Nya panji “Terpujilah Engkau dalam perbuatan-Mu” telah dinaikkan, dan bendera “Ditaatilah Engkau dalam perintah-Mu” telah dikibarkan. Maklumkanlah kedudukan-Mu ini, Ya Tuhanku, kepada hamba-hamba-Mu, supaya mereka menyedari bahawa kecemerlangan segala benda bergantung kepada perintah dan kalimat-Mu, dan bahawa sifat setiap tindakan ditentukan oleh keizinan-Mu dan keredaan kehendak-Mu, dan semoga mereka mengakui bahawa kuasa ke atas perbuatan-perbuatan manusia berada dalam genggaman penerimaan-Mu dan perintah-Mu. Maklumkanlah ini kepada mereka itu, supaya tiada apa pun yang dapat menjauhkan mereka daripada Keindahan-Mu, pada hari-hari ini ketika Kristus berseru: “Semua kerajaan milik-Mu, Ya Engkau Pengutus Roh [Yesus]”, dan Sahabat-Mu [Muhammad] telah berseru: “Pujian bagi-Mu, Ya Engkau Yang Tercinta, kerana Engkau telah menunjukkan Keindahan-Mu, dan telah menetapkan bagi orang-orang pilihan-Mu apa yang akan membolehkan mereka mencapai singgahsana penjelmaan Nama-Mu Yang Maha Agung, yang melaluinya semua umat meratap kecuali mereka yang telah melepaskan dirinya daripada segala sesuatu kecuali Engkau, serta menuju kepada Dia yang menjadi Penjelmaan Diri-Mu dan Perwujudan sifat-sifat-Mu.”

Dia yang adalah Cabang-Mu dan semua mereka yang ada di sekeliling-Mu, Ya Tuhanku, telah membuka puasanya pada hari ini, setelah mereka berpuasa dalam lingkungan istana-Mu, dan dalam keinginan mereka untuk menyenangkan-Mu. Tetapkanlah baginya dan bagi mereka, dan bagi semua yang telah memasuki hadirat-Mu pada hari-hari itu, segala kebaikan yang telah Engkau takdirkan dalam Kitab-Mu. Lalu berikanlah kepada mereka apa yang menguntungkan mereka, baik di dunia ini mahupun di akhirat.

Engkau, sesungguhnya, adalah Yang Maha Tahu dan Yang Maha Arif.