Prayers & Meditations

Malay · Bahá'u'lláh

Add range:
Aku merayu kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi segala keagungan Nama-Mu yang unggul, untuk memakaikan mereka yang dikasihi-Mu jubah keadilan dan untuk menyinari kewujudan mereka dengan cahaya kebolehpercayaan. Engkau adalah Yang telah mempunyai kuasa untuk melakukan apa yang Dia redai dan Yang memegang dalam genggamannya kekuasaan terhadap segala benda, yang kelihatan dan yang tersembunyi.

Terpujilah Engkau, Ya Tuhan! Engkau adalah Tuhan yang telah wujud sebelum segala benda, Yang akan wujud selepas segala benda dan akan kekal di atas segala benda. Engkau adalah Tuhan Yang mengetahui segala benda, dan terunggul di atas segala benda. Engkau adalah Tuhan Yang bertindak dengan belas kasihan kepada segala benda, Yang menghakimi semua benda dan Yang visi-Nya menakluki segala benda. Engkaulah Tuhan Rajaku, Engkaulah yang mengenali kedudukanku, Engkau naik saksi kepada wujudku yang dalam dan luar.

Kurniakanlah kemaafan-Mu kepadaku dan kepada penganut-penganut yang telah menyahut seruan-Mu. Jadilah Engkau penolongku yang mencukupi dalam menentang kelicikan barangsiapa yang berhasrat untuk menyebabkan kesedihan padaku atau ingin menyakitiku. Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan segala benda tercipta. Engkau mencukupi setiap orang, manakala tiada sesiapa dapat berdikari tanpa-Mu.

Terpujilah Engkau, Ya Tuhanku! Aku salah seorang hamba-Mu, yang telah percaya kepada-Mu dan kepada tanda-tanda-Mu. Engkau melihat bagaimana aku telah menghadapkan diriku pada pintu rahmat-Mu dan mengarahkan wajahku pada kasih sayang-Mu. Aku memohon kepada-Mu, demi gelaran-Mu yang tertinggi dan sifat-sifat-Mu yang terluhur, agar membuka kepada wajahku gapura-gapura anugerah-Mu. Maka, tolonglah daku agar berbuat apa yang baik, Ya Engkau Pemilik segala nama dan sifat! Aku ini miskin, Ya Tuhanku, dan Engkaulah Yang Kaya. Aku telah menghadapkan wajahku kepada-Mu, dan melepaskan diriku daripada segala-galanya kecuali Engkau. Aku memohon kepada-Mu, janganlah menjauhkan diriku daripada bayu-bayu belas kasihan-Mu yang mesra, dan janganlah dijauhkan daripadaku apa yang Engkau takdirkan bagi orang-orang pilihan dalam kalangan hamba-hamba-Mu.Bukalah tabir daripada mataku, Ya Tuhanku, agar, aku dapat mengenal apa yang telah Engkau hasratkan bagi makhluk-makhluk-Mu, dan dapat menemukan dalam segala penjelmaan karya-Mu, penjelmaan-penjelmaan kekuasaan-Mu yang maha agung. Semangatilah rohku, Ya Tuhanku, dengan tanda-tanda kekuasaan-Mu yang maha besar, dan tariklah aku daripada keinginan-keinginanku yang korup dan jahat. Kemudian tulislah bagiku kebaikan dunia ini dan akhirat. Berkuasalah Engkau berbuat apa yang Engkau kehendaki. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Mulia, yang pertolongan-Nya dicari oleh semua manusia.Aku berterima kasih kepada-Mu, Ya Tuhanku, bahawa Engkau telah menyedarkanku daripada tidurku, dan telah membangkitkan daku, dan telah mewujudkan dalam diriku hasrat untuk memahami apa yang telah kebanyakan hamba-hamba-Mu gagal memahami. Bolehkanlah aku, Ya Tuhanku, untuk melihat, demi cintaku kepada-Mu dan demi keredaan-Mu, apa sahaja yang telah Engkau hasratkan. Engkaulah Dia yang kekuatan kuasa dan keagungan-Nya semua benda naik saksi.Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Berkuasa, Yang Dermawan.

Kemuliaan bagi-Mu, Ya Tuhanku, Engkaulah yang telah mewujudkan segala benda tercipta melalui kekuatan perintah-Mu.

Ya Tuhan! Bantulah mereka yang telah meninggalkan segala sesuatu kecuali Engkau dan berikanlah kepada mereka kemenangan yang hebat. Turunkanlah kepada mereka, Ya Tuhan, angkatan malaikat di syurga dan di bumi dan segala yang ada di antaranya, untuk membantu hamba-hamba-Mu, dan menolong serta menguatkan mereka, membolehkan mereka untuk mencapai kemenangan, menyokong mereka dan menganugerahi mereka dengan kemuliaan, memberikan kepada mereka kehormatan dan keluhuran, serta menjadikan mereka kaya dan memberikan mereka kemenangan yang menakjubkan.

Engkau adalah Raja mereka, Raja langit dan bumi, Raja segala alam. Kuatkanlah Akidah ini, Ya Tuhan, melalui kekuatan hamba-hamba ini, dan bolehkanlah mereka menang ke atas semua bangsa di dunia; kerana sesungguhnya mereka itu adalah hamba-Mu yang telah melepaskan diri daripada segala sesuatu melainkan Engkau, dan sesungguhnya Engkau adalah Pelindung bagi para penganut yang sejati.

Bolehkanlah, Ya Tuhan, agar kalbu-kalbu mereka menjadi lebih kuat daripada apa pun yang ada di langit dan di bumi dan apa sahaja yang ada di antaranya, melalui kesetiaan kepada Akidah-Mu yang tak dapat dikalahkan; dan perkuatkanlah, Ya Tuhanku, tangan-tangan mereka dengan tanda-tanda kekuasaan-Mu yang menakjubkan agar mereka dapat menjelmakan kekuatan-Mu di hadapan penglihatan semua manusia.

Kemuliaan bagi-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu agar mengampuni daku dan mereka yang membantu Akidah-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Raja yang berdaulat, Pengampun, Yang Maha Dermawan. Ya Tuhanku! Bolehkanlah hamba-hamba-Mu yang jahil untuk memasuki Akidah-Mu; kerana setelah mereka mengenal-Mu, mereka naik saksi akan kebenaran Hari Kiamat dan tidak akan membantah penjelmaan-penjelmaan rahmat-Mu. Turunkanlah kepada mereka tanda-tanda kurnia-Mu, dan berikanlah kepada mereka di mana sahaja mereka berada, bahagian yang besar daripada apa yang telah Engkau tetapkan bagi hamba-hamba-Mu yang suci. Sesungguhnya, Engkaulah Raja Yang Agung, Yang Maha Pemberi, Maha Dermawan.

Ya Tuhanku! Biarkanlah curahan dari pemberian dan rahmat-Mu turun kepada rumah-rumah yang penghuninya telah memeluk Akidah-Mu, sebagai tanda kurnia-Mu dan lambang kasih sayang daripada kehadiran-Mu. Sesungguhnya, Engkau tak dapat ditandingi dalam memberi pengampunan. Seandainya Engkau menahan pemberian-Mu daripada seseorang, bagaimanakah dia dapat dianggap antara penganut Akidah pada Hari-Mu? Berkatilah daku, Ya Tuhanku, dan mereka yang akan percaya kepada tanda-tanda-Mu pada Hari yang ditetapkan, dan mereka yang memiliki cintaku dalam kalbu-kalbu mereka—satu cinta yang Engkau telah tanamkan dalam mereka. Sesungguhnya, Engkaulah Raja keadilan, Yang Maha Luhur.

Dimuliakanlah nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Engkau melihat bagaimana pandanganku telah diarahkan pada rahmat-Mu yang mesra, dan bagaimana mataku dipusatkan pada ufuk kurnia-Mu, dan kasih sayang-Mu, dan bagaimana tanganku dihulurkan ke syurga pemberian-Mu. Kekuatan-Mu menjadi saksiku! Setiap anggota badanku merayu kepada-Mu dan mengatakan: “Ya Engkau yang adalah Kekasih seluruh alam, dan Raja segala yang ada di syurga dan di bumi, dan satu-satunya Hasrat bagi kalbu-kalbu yang mencintai Engkau! Aku memohon kepada-Mu, demi Samudera-Mu di mana Engkau telah memanggil para penghuni syurga dan para penduduk di bumi, untuk membantu hamba-hamba-Mu yang telah dihalangi dari menghadap kepadanya dan mendekati pantainya. Oleh sebab itu, Ya Tuhanku, jadikanlah mereka tak terikat kepada segala sesuatu kecuali Engkau dan bolehkanlah mereka mengucapkan pujian kepada-Mu dan menjunjung tinggi sifat-sifat-Mu. Selain daripada itu, Ya Tuhanku, berilah mereka Wain terpilih daripada kurnia-Mu, agar dapat menyebabkan mereka melupakan sesiapa pun kecuali Engkau dan agar dapat bangkit mengabdi kepada Akidah-Mu dan tetap teguh dalam cinta mereka kepada-Mu. Sesungguhnya, Engkau Raja kehidupan mereka dan Tujuan pemujaan mereka. Jika mereka diusir oleh-Mu, siapakah yang akan memelihara mereka; dan jika mereka dijauhkan daripada-Mu, siapakah yang dapat menolong mereka untuk mendekati Kehadiran-Mu? Aku bersumpah demi kekuatan-Mu! Tiada tempat untuk berlindung kecuali Engkau, dan tiada naungan yang dicari kecuali naungan-Mu, dan tidak ada perlindungan kecuali perlindungan-Mu. Malang akan menimpa dia yang telah menjadikan sesiapa pun sebagai Tuhan selain Engkau dan diberkatilah mereka yang telah menjauhkan diri daripada segala ikatan kepada semua penduduk bumi-Mu dan melekat pada jubah kedermawanan-Mu. Inilah! umat Bahá, di hadapan semua yang ada di syurga dan semua yang ada di bumi. Tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.“Segala pujian bagi Tuhan, Raja sekalian alam.

AYYÁM-I-HÁ

(Hari-Hari Sisipan)

(Hari-Hari Sisipan… haruslah menjadi hari-hari persediaan bagi Berpuasa, hari-hari membuat kebajikan, amalan menderma dan memberikan hadiah.)

Tuhanku, Apiku dan Cahayaku! Hari-hari yang telah Engkau namakan Ayyám-i-Há dalam Kitab-Mu telah bermula, Ya Engkau Raja segala nama, dan kewajipan puasa yang telah ditetapkan oleh Pena-Mu yang terluhur ke atas semua yang berdiam di kerajaan ciptaan-Mu sudah menjelang. Aku memohon kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi hari-hari ini dan demi mereka semua yang sepanjang masa itu telah berpegang teguh pada tali perintah-Mu, dan berpegang pada peraturan-peraturan-Mu, agar dapat diberikan kepada setiap jiwa satu tempat dalam lingkungan istana-Mu, dan satu tempat duduk pada penjelmaan kecemerlangan cahaya wajah-Mu.

Mereka ini, Ya Tuhanku, adalah hamba-hamba-Mu yang tiada kecenderungan jahat telah menahan mereka daripada apa yang telah Engkau turunkan dalam Kitab-Mu. Mereka telah menundukkan diri mereka di hadapan Akidah-Mu, dan menerima Kitab-Mu dengan ketetapan hati yang berasal daripada-Mu, dan telah melaksanakan apa yang telah Engkau perintahkan bagi mereka, dan telah memilih untuk mengikuti apa yang telah Engkau turunkan.

Engkau melihat, Ya Tuhanku, bagaimana mereka telah mengenal dan mengakui apa sahaja yang telah Engkau wahyukan dalam Tulisan-tulisan-Mu. Berilah mereka minum, Ya Tuhanku, air kehidupan keabadian-Mu dari tangan kerahmanan-Mu, Ya Tuhanku. Lalu tulislah bagi mereka ganjaran yang ditetapkan bagi dia yang telah menyelamkan dirinya ke dalam samudera kehadiran-Mu dan mencapai wain terpilih pertemuan dengan-Mu.

Aku memohon kepada-Mu, Ya Engkau Raja segala raja dan Pengasih mereka yang tertindas, agar menetapkan bagi mereka kebaikan dunia ini dan akhirat. Tambahan lagi, tulislah bagi mereka apa yang tak pernah ditemukan oleh makhluk-makhluk-Mu dan masukkanlah mereka ke dalam bilangan orang-orang yang telah mengelilingi-Mu, dan yang bergerak di sekitar singgahsana-Mu di setiap alam daripada alam-alam-Mu.

Engkau, sesungguhnya, adalah Yang Maha Kuat, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

Terpujilah Engkau, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku merayu kepada-Mu, demi Nama-Mu Yang Teragung melaluinya Engkau telah menciptakan hamba-hamba-Mu dan mendirikan kota-kota-Mu, dan demi gelaran-gelaran-Mu yang paling cemerlang, dan sifat-sifat-Mu yang teragung, untuk membantu umat-Mu untuk berpaling ke arah rahmat-Mu yang tak terhingga, dan menetapkan wajah mereka ke arah Khemah Kearifan-Mu. Sembuhkanlah Engkau penyakit-penyakit yang telah melanda jiwa-jiwa di setiap penjuru, dan telah menghalang mereka daripada memalingkan pandangan mereka kepada Syurga yang terletak di bawah teduhan perlindungan Nama-Mu, yang Engkau telah perintahkan untuk menjadi Raja segala Nama kepada semua yang ada di syurga dan semua yang ada di bumi. Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau senangi. Di tangan-Mu adalah pemerintah segala nama. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Kuat, Yang Arif.

Aku hanyalah makhluk miskin, Ya Tuhanku; aku telah berpaut pada kelim kekayaan-Mu. Aku sakit tenat; aku telah berpegang kuat pada penyembuhan-Mu. Bebaskanlah daku daripada penyakit yang telah menyelubungiku, dan bersihkanlah daku sepenuhnya melalui air kedermawanan dan belas kasihan-Mu, dan hiasilah daku dengan pakaian kesegaran, melalui pengampunan dan rahmat-Mu. Lalu, tetapkanlah mataku kepada-Mu, dan hilangkanlah segala keterikatanku kecuali kepada-Mu. Bantulah daku untuk melakukan apa yang Engkau redai, dan untuk memenuhi apa yang Engkau senangi.

Engkaulah sesungguhnya Tuhan kehidupan ini dan yang seterusnya. Sesungguhnya, Engkaulah Maha Pengampun, Maha Rahmat.

Dibesarkanlah nama-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah menjelmakan Hari yang merupakan Raja Segala Hari, Hari yang telah Engkau umumkan kepada Orang-orang pilihan-Mu dan para Nabi-Mu dalam Loh-Loh-Mu yang unggul, Hari yang mana Engkau telah memancarkan cahaya kemuliaan segala nama-Mu pada semua yang diciptakan. Besarlah berkatnya barangsiapa yang telah mengarahkan dirinya kepada-Mu, dan telah memasuki kehadiran-Mu dan mendengar nada suara-Mu.Aku memohon kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi nama Dia, yang di sekeliling-Nya kerajaan nama-nama-Mu dalam pemujaannya berkitar, agar sudilah Engkau membantu mereka yang Engkau cintai, untuk memuliakan kalimat-Mu antara hamba-hamba-Mu dan menyebarkan ke merata tempat pujian-Mu dalam kalangan makhluk-makhluk-Mu, agar kebahagiaan wahyu-Mu dapat mengisi roh semua penghuni bumi-Mu.Kerana Engkau telah membimbing mereka, Ya Tuhanku, ke samudera kehidupan rahmat-Mu, janganlah mereka dijauhkan daripada-Mu demi rahmat-Mu dan kerana Engkau telah memanggil mereka ke tempat duduk takhta-Mu, maka janganlah mengusirkan mereka daripada kehadiran-Mu melalui kasih sayang-Mu. Turunkanlah kepada mereka apa yang akan membuat mereka tak terikat sepenuhnya daripada segala sesuatu kecuali Engkau dan membolehkan mereka untuk terbang ke angkasa kedekatan-Mu, sedemikian rupa sehingga tiada kekuasaan para penindas mahupun bisikan-bisikan mereka yang tak beriman kepada Dirimu Yang Maha Mulia dan Maha Perkasa, dapat menjauhkan mereka daripada-Mu.
Ya Tuhanku, Kekasihku dan Hasratku! Bersahabatlah dengan daku dalam kesepianku dan temanilah daku dalam pemencilanku. Hapuskanlah kedukaanku. Sebabkanlah daku untuk mengabdi kepada keindahan-Mu. Jauhkanlah daku daripada segala sesuatu kecuali Engkau. Jadikanlah daku tertarik kepada keharuman kesucian-Mu. Sebabkanlah daku untuk berhubung dengan mereka yang tak terikat kepada segala sesuatu kecuali Engkau, yang ingin mengabdi kepada ambang pintu-Mu yang suci dan yang tetap berkhidmat kepada Akidah-Mu. Bolehkanlah daku menjadi salah seorang dayang-Mu yang telah mencapai keredaan-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Pengasih, Yang Maha Dermawan.
Diluhurkanlah dan dimuliakanlah Engkau, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi keluh-kesah kekasih-Mu dan demi air mata yang dititiskan oleh mereka yang rindu untuk melihat-Mu, agar jangan menjauhkan daku daripada rahmat-Mu yang mesra pada Hari-hari-Mu, dan jangan pula menghalang daku daripada lagu-lagu Merpati yang memuji keesaan-Mu di hadapan cahaya yang bersinar daripada wajah-Mu. Akulah yang sengsara, Ya Tuhan! Lihatlah daku berpegang teguh kepada Nama-Mu, Yang Maha Memiliki. Akulah yang pasti akan musnah; lihatlah daku berpegang kuat kepada Nama-Mu, Yang Tak Dapat Dimusnahkan. Maka aku memohon kepada-Mu, demi Dirimu Sendiri, Yang Maha Luhur, Yang Maha Tinggi, agar janganlah membiarkan daku kepada diriku sendiri dan kepada nafsu-nafsu kecenderungan jahat. Peganglah tanganku dengan tangan kekuasaan-Mu, dan selamatkanlah daku daripada kedalaman khayalan-khayalan dan angan-angan kosong, serta bersihkanlah daku daripada segala sesuatu yang tidak disukai oleh-Mu.Maka, sebabkanlah daku menghadap sepenuhnya kepada-Mu, dengan meletakkan kepercayaanku sepenuhnya pada-Mu, untuk mencari-Mu sebagai Perlindunganku, dan untuk bergegas kepada wajah-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Dia yang berbuat apa yang Dia kehendaki melalui kekuatan kekuasaan-Nya dan memerintahkan apa sahaja yang Dia tentukan melalui kekuatan kehendak-Nya. Tiada sesiapa pun yang dapat menahan operasi perintah-Mu; tiada sesiapa pun yang dapat mengubah apa yang Engkau tetapkan. Sesungguhnya, Engkaulah Maha Kuasa, Yang Maha Mulia, Yang Maha Rahim.
Terpujilah Nama-Mu, Ya Tuhanku dan Tuhan segala benda, Kemuliaanku dan Kemuliaan segala benda, Hasratku dan Hasrat segala benda, Kekuatanku dan Kekuatan segala benda, Rajaku dan Raja segala benda, Pemilikku dan Pemilik segala benda, Tujuanku dan Tujuan segala benda, Penggerakku dan Penggerak segala benda! Aku memohon kepada-Mu, janganlah Engkau membiarkan daku terpisah daripada samudera kasih sayang-Mu yang mesra, dan janganlah pula dijauhkan daripada pantai kedekatan-Mu.Ya Tuhanku, tiada yang lain kecuali Engkau yang menguntungkan daku, dan tiada faedahnya bagiku mendekati apa pun kecuali Engkau. Aku memohon kepada-Mu, demi berlimpah-limpahnya kekayaan-Mu yang mana Engkau tak memerlukan apa pun selain Engkau Sendiri, agar memasukkan daku ke dalam bilangan mereka yang telah menghadapkan wajahnya kepada-Mu, dan bangkit mengabdi kepada-Mu. Kemudian ampunilah hamba-hamba-Mu dan dayang-dayang-Mu, Ya Tuhanku. Sesungguhnya, Engkaulah Pengampun Selalu dan Maha Penyayang.

Maha Mulialah Engkau, Ya Tuhanku! Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah membolehkan daku mengenal Dia, Fajar rahmat-Mu dan Tempat Terbit kurnia-Mu dan Sumber Akidah-Mu. Aku memohon kepada-Mu demi nama-Mu, yang melalui-Nya wajah-wajah mereka yang dekat kepada-Mu telah menjadi putih, dan kalbu-kalbu mereka yang mencintai-Mu telah terbang kepada-Mu, agar mengizinkan daku untuk berpegang teguh kepada tali-Mu pada setiap waktu dan dalam segala keadaan, dan terlepas daripada ikatan sesiapa pun kecuali Engkau, dan membolehkan mataku diarahkan ke ufuk Revelasi-Mu, dan dapat menjalankan apa yang telah Engkau tentukan bagiku dalam Loh-Loh-Mu.

Ya Tuhanku, hiasilah jiwa dan ragaku dengan jubah rahmat-Mu dan kasih sayang-Mu. Lalu selamatkanlah daku daripada segala sesuatu yang tak Engkau redai, dan dengan penuh rahmat, tolonglah daku dan keluargaku agar mentaati-Mu dan menjauhi daripada apa yang dapat menimbulkan sebarang kejahatan atau keinginan keji dalam diriku.

Sesungguhnya, Engkaulah Tuhan seluruh umat manusia, dan Pemilik dunia ini dan akhirat. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

Terpujilah nama-Mu, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi keharuman pakaian belas kasihan-Mu yang pada perintah-Mu serta berdasarkan hasrat-Mu telah disebarkan kepada seluruh ciptaan, dan demi Suria kehendak-Mu telah bersinar dengan terang, melalui kuasa kekuatan-Mu dan keagungan-Mu, di atas ufuk kerahmatan-Mu, untuk menghapuskan daripada hatiku semua angan-angan kosong dan khayalan sia-sia, agar dengan segala kasih sayangku aku dapat berpaling kepada-Mu, Ya Engkau Tuhan semua manusia!Aku hamba-Mu dan putera hamba-Mu, Ya Tuhanku! Aku telah bergantung kepada tempat kurnia-Mu, dan berpaut kepada tali kerahmatan lembut-Mu. Berikanlah kepadaku benda-benda baik yang ada pada Diri-Mu, dan jagalah daku daripada Meja yang Engkau telah turunkan daripada awan rahmat-Mu dan syurga kurnia-Mu.Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan segala dunia, dan Tuhan kepada semua yang ada di syurga dan di bumi.
Katakanlah: Dibesarkanlah Nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu yang melaluinya kecemerlangan cahaya kearifan telah bersinari dengan penuh gemilang apabila syurga ujaran ilahi telah digerakkan dalam kalangan manusia, untuk membantuku melalui pengesahan syurgawi-Mu dan membolehkan daku untuk menyebarkan Nama-Mu dalam kalangan hamba-Mu.Ya Tuhan! Kepada-Mu aku telah memalingkan wajahku, tak terikat daripada semua kecuali Engkau dan berpegang kuat pada kelim jubah berkat-Mu yang tak terhingga. Oleh itu, ringankanlah lidahku untuk mengumumkan apa yang akan menarik minda manusia dan akan meriangkan roh dan jiwa mereka. Lalu perkuatkanlah daku dalam Akidah-Mu agar aku tidak dihalang oleh kekuasaan penindas-penindas antara makhluk-Mu mahupun ditahan oleh serangan yang kafir dalam kalangan mereka yang tinggal di alam-Mu. Jadikanlah daku sebagai lampu yang bersinar di seluruh bumi-Mu agar mereka yang dalam kalbu mereka disinari cahaya pengetahuan-Mu dan kalbu yang wujudnya keinginan bagi cinta-Mu akan dibimbing oleh sinarannya.Sesungguhnya, berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau kehendaki, dan dalam genggaman-Mu Engkau telah memerintah kerajaan ciptaan. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Kuat, Yang Maha Arif.

Terpujilah nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku merayu Engkau demi nama-Mu melaluinya Masanya telah tiba, dan Kebangkitan sudah terjadi, dan ketakutan dan geletar menyelubungi semua yang ada di syurga dan di bumi, untuk menghujani dari syurga belas kasihan-Mu dan awan kasih sayang lembut-Mu, apa yang akan meriangkan kalbu hamba-hamba-Mu, yang telah berpaling kepada-Mu dan membantu Akidah-Mu.

Lindungilah hamba-hamba-Mu dan dayang-dayang-Mu, Ya Tuhanku, daripada serangan hawa nafsu dan khayalan kosong, dan berikanlah mereka dari tangan kurnia-Mu satu draf air ilmu-Mu yang mengalir lembut.

Engkau, sesungguhnya, adalah Yang Maha Kuat, Yang Maha Luhur, Pemaaf Selalu, Yang Maha Dermawan.

Ya Engkau Yang wajah-Nya adalah tujuan pujaanku, Yang keindahan-Nya adalah tempat perlindunganku, Yang kediaman-Nya adalah matlamat-Ku, Yang pujian-Nya adalah harapanku, Yang pemeliharaan-Nya adalah sahabatku, Yang cinta-Nya adalah punca kewujudanku, Yang sebutan-Nya adalah ketenanganku, Yang kedekatan-Nya adalah hasratku, Yang kehadiran-Nya adalah keinginanku yang terdalam dan cita-citaku yang tertinggi, aku memohon kepada-Mu agar jangan menahan daku daripada hal-hal yang telah Engkau tetapkan bagi orang-orang pilihan dalam kalangan hamba-Mu. Lalu anugerahilah daku dengan kebaikan dunia ini dan akhirat. Sesungguhnya, Engkaulah Raja semua manusia. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Mengampuni, Yang Maha Dermawan.